Welcome


" Ya ALLAH, Tuhan yang menguruskan hati..uruskanlah
hati-hati kami ke arah jalan ketaatan kepada-Mu "

:: oPeN yOuR EyEs ::

'Wahai anak-anakku, sesungguhnya kalian memeluk agama ini tanpa paksaan. Kalian telah berhijrah dengan kehendak sendiri. Demi Allah, yang tiada Tuhan selain Dia. Sesungguhnya kalian ini anak2 lelaki dari seorang lelaki dan dari seorang perempuan yang sama. Tidak sanggup aku mengkhianati ayahmu, atau membuat malu bapa saudaramu, atau mencoreng arang di muka keluargamu. Jika kalian telah melihat perang, singsinglah lengan baju dan berangkatlah, majulah paling depan nescaya kalian akan mendapatkan pahala di akhirat. Negeri yang abadi. Wahai anakku, sesungguhnya tiada Tuhan selain Allah dan bahawa Muhammad itu Rasul Allah. lnilah kebenaran sejati, maka untuk itu berperanglah dan demi itu pula bertempurlah sampai mati(syahid). Wahai anak-anakku, carilah maut nescaya dianugerahkan hidup.' -Al-Khansa bintu Amru-

20 July 2009

Cadangan Haram Sister In Islam & Kebebasan Bersuara

oleh : Ustaz Zaharuddin

SOALAN :

Saya ingin bertanya al-fadhil Ustaz berkenaan isu cadangan pengharaman pertubuhan Sisters In Islam/SIS kerana pandangannya yang menyelweng dari landasan Islam. Adakah terdapat sebarang justifikasi tindakan seperti ini di zaman Nabi s.a.w dan jika tiada adakah ia bertepatan dengan Islam atau bercanggah kerana dianggap sebagai menutup pintu diskusi dan debat serta kebebasan bersuara. Harap ustaz dapat mengulas.
JAWAPAN :
Hangat juga diperkatakan berkenaan isu Sisters In Islam (SIS). Saya tidak pernah melakukan kajian peribadi berkaitan pertubuhan ini, namun kerap juga membaca beberapa tulisan mereka khususnya yang tersiar di dada akhbar. Adakalanya saya juga menyemak kesahihan nisbah sesuatu berita yang tersiar di akhbar kepada web SIS sendiri.
Secara peribadi banyak sekali saya tidak bersetuju dengan pandangan SIS ini, namun demikian tidak saya nafikan sebahagian pandangan mereka masih dalam lingkungan khilaf muktabar di kalangan ulama Islam, cuma mereka mengambil pandangan yang lebih mereka rasakan relevan buat pergerakan mereka.
Manakala dalam keadaan yang lain, ada pandangan yang diutarakan oleh mereka yang dari bidang khilaf TIDAK muktabar seperti wanita menjadi imam solat jumaat, rambut bukan aurat dan sebagainya. Atau dalam kata lainnya, khilaf tidak muktabar ini adalah pandangan yang dikira menyeleweng dari tafsiran sebenar Islam berdasarkan sumber-sumber dan kaedah pengeluaran hukum yang sahih.
Erti sumber dan kaedah pengeluaran hukum yang sahih pula adalah kembali kepada al-Quran, As-Sunnah dan terpecah darinya Ijma dan qiyas serta sumber-sumber lain. Ia juga mestilah dilihat dan ditafsir menurut kaedah yang tepat melalui kaedah bahasa arab terlebih dahulu dan seterusnya melalui disemak menggunakan ilmu Usul al-Fiqh dari bidang Dalalah al-alfaz, Nasikh dan Mansukh, Mutlaq dan Muqayyad, Majazi dan Hakiki, Muhkam dan Mutasyabih. Kemudian melalui proses ta'arud wa tarjih, selain itu dilihat juga tahap kekuatan hadis dari sudut sanad dan matannya.
Telah banyak tulisan yang mendedahkan perincian di atas, dalam pelbagai jenis blog dan saya tidak berhasrat untuk mengulas hal tersebut.
BOLEHKAH MENGHARAM SESEBUAH TULISAN DAN KUMPULAN
Apa yang ingin saya ulaskan secara ringkas dan padat di sini adalah soalan sama ada boleh atau tidak, sesebuah pemerintah atau badan berwajib Islam ‘mengharam' sesuatu kumpulan, individu, tulisan, filem dan lain-lainnya. Tulisan ini juga tidak hanya memfokuskan kepada isu pertubuhan Sisters In Islam, malah jangkauannya lebih meluas kepada yang lain termasuk individu, pertubuhan NGO, politik dan lain-lain. Sebelum ini telah banyak kita baca berkenaan beberapa buah buku yang diharamkan oleh pihak JAKIM, kerajaan dan pihak berwajib. Adakah semua ini mempunyai asas di dalam Islam?
Dalam mencari pendekatan yang terbaik dalam menangani sesebuah buku, individu atau kumpulan yang menyelewengkan fatwa Islam. Beberapa dalil boleh dijadikan panduan.Secara ringkasnya, terdapat empat tindakan yang boleh dan dibenarkan, demikian pandangan saya. Berikut adalah tindakannya menurut aturan tertib beserta dalil ringkasnya :-
PERTAMA : NASIHAT DAN DEBAT YANG TERBAIK
Nasihat dan berhujjah serta berdebat adalah pendekatan terbaik yang perlu diambil sebelum sebarang pendekatan lain digunakan.
Ia jelas dari firman Allah swt :-
Ertinya : 'Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.' ( An-Nahl : 125 )
Kaedah lembut, bertenang dan berbincang adalah yang terbaik dalam menyelesaikan sesebuah masalah dalam negara, masyarakat malah juga keluarga.
Lihat sahaja bagaimana tindakan dan keputusan Rasulullah s.a.w ketika berhadapan dengan puak Munafiq tulen. Benar, di zaman Nabi, wujud sahabat yang dikurniakan kelebihan untuk mengenalpasti individu Munafiq dengan tepat, malah Rasul juga mengetahuinya, namun golongan ini tidak terus diharamkan dan disisih.
Ibn Qayyim pernah memberikan kesimpulan cara Nabi s.a.w dalam berhadapan dengan golongan munafiqin sebagai berikut
Ertinya : Nabi mengarahkan umat Islam untuk menerima mereka berdasarkan zahir mereka, dan menyerahkan urusan niat dan hati kepada Allah swt.
Berusaha mendekatkan mereka dengan ilmu dan hujjah, Nabi juga mengarahkan sahabat untuk menjauh mereka dan bertegas, menyampaikan kata-kata yang tepat dan hikmah kepada mereka, dilarang pula solat ke atas jenazah mereka dan menzaiarahi kuburan mereka dan memaklumkan bahawa sekiranya yang hidup beristifaghar untuk munafiq yang mati, nescaya sama sekali Allah tidak akan mengampunkan mereka. (Rujuk Zad al-Ma'ad)
Namun ingat, ringkasan yang diberikan oleh Ibn Qayyim. Kita disuruh untuk berlaku baik terlebih dahulu, mendekati dan berdakwah dengan mereka melalui hujjah dan debat. Namun demikian, Nabi tidak akan menyembahyangkan jenazah si munafiq sebagaimana arahan Allah swt di dalam surah at-Taubat ayat ke-84.
KEDUA : LARANGAN MEMBACA ATAU MENYEBARKAN TULISAN
Jika setelah langkah pertama diambil, lalu ternyata mereka yang terbabit masih berdegil dengan menyebarkan ideologi salah mereka. Kaedah yang kedua adalah dengan melarang orang ramai dari membaca atau menyampaikan sesebuah ilmu atau tulisan. Namun larangan ini dikeluarkan atas sifat nasihat dan saranan. Tiada sebarang peruntukan hukuman diambil pada tahap ini. Dengan demikian, pihak berwajib adalah dibenarkan melarang umat Islam dan orang ramai untuk membaca tulisan individu atau kumpulan tertentu atau dilarang juga menyebarkannya.
Sebabnya :-
* Kandungannya bercanggah secara pasti dengan tafsiran yang benar.
* Kandungannya akan mengelirukan orang ramai dari ilmu Islam yang benar.
Untuk itu, menurut pendapat saya, pihak berwajib boleh mengeluarkan NOTIS LARANGAN untuk membaca buku tertentu, menyertai kumpulan tertentu dan sebagainya. Di peringkat ini, notis amaran larangan dari pihak berwajib kepada individu muslim awam sama ada dalam bentuk fatwa atau surat pekeliling.
Perlu difahami juga, sebarang buku atau kumpulan yang ingin dikeluarkan notis larangan baca dan sebar MESTILAH benar-benar menyeleweng TANPA KHILAF MUKTABAR dan bukannya hanya pendapat berbeza dalam masalah ijtihadiah atau disebabkan buku tersebut mengandungi pendapat-pendapat mazhab lain dari Syafie. Ia tidak wajar sama sekali.
KETIGA : DIKENAKAN HUKUMAN DAN TINDAKAN UNDANG-UNDANG
Apabila semua proses di atas sudah diambil oleh pihak berwajib, namun pihak individu atau kumpulan masih berdegil dengan menyampaikan segala ilmu salahnya.Sudah sampai masanya untuk pihak berwajib mengambil tindakan lebih keras iaitu menarik lesen pertubuhan jika ia sebuah pertubuhan, mengharamkan kemasukan dan edaran sesebuah buku atau majalah jika terdiri daripada bahan penulisan. Ataupun dijatuhkan hukuman individu yang terbabit dengan hukuman yang sesuai dengan besar mudarat yang diciptakan (bukan dengan ISA).

KEBEBASAN BERSUARA & PENDAPAT
Perbincangan hak kebebasan bersuara atau freedom of expression menurut Islam adalah amat panjang dan telah banyak buku dan artikel ilmiah yang ditulis dalam topik itu.
Apa yang ingin saya jelaskan, adalah amat tidak benar lagi bohong jika dikatakan ada sebuah ideoleogi yang membenarkan kebebasan bersuara tanpa had dan batasan.
Semua kebebasan ada batasannya, hatta dalam sebuah negara yang dikatakan bebas berlandaskan undang-undang demokrasi seperti Amerika pun mempunyai batasan kebebasan suaranya.
Demikian di Britain dan lain-lain negara Eropah, walaupun mereka sering digelar negara yang paling bebas untuk bersuara, namun batasan tetap wujud. Bukan di Eropah sahaja malah di seluruh dunia dengan apa jua ideologi seperti Komunis, Sosialis, Free Thinker dan lainnya. Mereka tetap mempunyai undang-undang yang menghadkan sesebuah kebebasan suara. Maka itulah juga kebebasan bersuara di dalam Islam. Islam menghadkan kebebasan bersuara dalam banyak hal, secara ringkasnya tiada kebebasan dalam hal berikut :-
Mencela Allah swt dan tuhan-tuhan ciptaan manusia. Kerana mencela tuhan-tuhan hatta ciptaan manusia membuka mudarat besar untuk pergaduhan maut selain membuka ruang celaan balas terhadap Allah swt. Larangan ini disebutkan dengan jelas oleh Allah di dalam surah al-An'Am : 108.
Ertinya : "Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, karena mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan"
# Mencela rasul dan lain-lain Nabi, sama ada dalam bentuk tulisan, lukisan dan percakapan.
# Menulis dan bercakap sesuatu yang menyelewengkan erti dan tafsiran sebenar ayat Al-Quran dan al-Hadis sama ada secara jahil atau sengaja.
Ini yang banyak di dakwa dilakukan oleh kumpulan SIS dan juga pencipta filem pendek Fitna atau juga Prof. Ahmad Amin di Mesir, Astora Jabat dan ramai lagi. Rujuk di sini untuk sedikit tambahan nama-nama yang terlibat . Kerana itu Nabi s.a.w memberi amaran bagi sesiapa yang ingin berkata :-
Ertinya : " Sesungguhnya seorang hamba yang bercakap sesuatu kalimah atau ayat tanpa mengetahui implikasi dan hukum percakapannya, maka kalimah itu boleh mencampakkannya di dalam Neraka sejauh antara timur dan barat" ( Riwayat Al-Bukhari dengan Fathul Bari, Bab Hifdz Lisan, 11/376 , no 6477)
Imam Ibn Hajar Al-Asqolani menegaskan bahawa erti hadith ini adalah seorang yang bercakap tanpa jelas maksud ayatnya sehingga menjadikan ia boleh membawa maksud yang pelbagai sehingga sebahagiannya boleh mencarikkan sesuatu hukum.[2] Kita sudah melihat tadi bagaimana penyelewengan tafsiran hukuman zakat sahaja boleh menyebabkan puak arab diperangi oleh Khalifah Abu Bakar r.a.
# Menulis sesuatu berkaitan Islam tanpa didasari sumber yang sohih dan benar, sehingga mencalar ajaran Islam dan Nabi.
Sebagaimana yang dilakukan oleh Farish A Noor ketika berkenaan menulis berkenaan isteri Nabi, tulisan yang menghina Nabi akibat kejahilannya dengan sumber sirah yang sohih.
# Menuduh zina atau liwat orang lain tanpa saksi yang mencukupi.
# Sewenangnya mengumpat dan mencaci orang lain. Nabi berkata :
Ertinya : Mencerca dan mencela seorang muslim adalah fasiq, dan membunuhnya boleh jatuh kafir (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Dan banyak lagi yang tidak bebas jika ingin saya senaraikan semuanya. Sama ada dari sudut Islam atau juga undang-undang kenegaraan. Hasil dari itu, untuk mana-mana pihak menghentam cadangan pengharaman hanya berbekalkan hujjah kebebasan bersuara. Itu bukanlah hujjah yang bijak dan ia tertolak. Kalau benar, kumpulan itu menyeleweng tafsiran al-Quran dan Hadis serta hukum, amat wajarlah untuk disekat kebebasan buat mereka, akibat salahguna yang memudaratkan Islam.

KESIMPULAN
Jelas bahawa pihak berwajib mestilah mengambil langkah matang dan lembut dengan membuka ruang diskusi dan debat ilmiah yang tidak emosi sebelum terus kepada sebarang tindakan lebih aggresif kepada mana-mana kumpulan dan individu.
Amat dukacita jika tindakan pengharaman dilakukan SEBELUM LANGKAH PERTAMA DAN KEDUA dilaksanakan, sedangkan ditutup ruang perbincangan dan penjelasan. Maka oleh itu, dalam kes Sisters In Islam, secara peribadi saya lebih cenderung untuk dilakukan proses bincang dan bahas secara ilmiah, ia adalah pendekatan yang terlebih utama. Jika gagal barulah diteruskan dengan langkah-langkah yang lain, khususnya pengharaman dan tindakan.
Secara tidak langsung ia akan memberi ruang kepada para ilmuan Islam di Malaysia untuk kembali mengasah ilmu mereka yang kebanyakkannya sudah tumpul dek kerana asyik menutup pintu perbincangan dengan pihak yang berbeza dengan mereka.Sedangkan, pintu ilmu terbuka luas di era tanpa sempadan ini.
Secara peribadi, saya juga bersetuju kiranya tidak diharamkan sekalipun pertubuhan itu, disebabakan menyedari ada usaha baik yang dilaksanakannya khususnya untuk para wanita dari sudut undang-undang keluarga. Adalah amat elok untuk ditanggalkan nama ‘Islam' dari pertubuhan tersebut. Biarlah ia menjadi sebuah pertubuhan wanita semata-mata. Bagi pertubuhan yang ingin mengguna nama Islam di dalam Negara, letakkan syarat seperti nama Bank ‘Islam' yang mana tidak dibenarkan mana-mana institusi kewangan untuk menamakan diri mereka dengan ‘Islam' atau menawarkan produk Islam kecuali telah menepati syarat yang telah ditetapkan oleh Jabatan Perbankan Islam dan Takaful, Bank Negara Malaysia seperti memiliki penasihat Shariah dan lain-lain syarat.

*Artikel ini telah diolah mengikut kesesuaian,sila lawat laman web rasmi UZAR untuk artikel penuh di http://www.zaharuddin.net/content/view/841/72/

No comments:

Post a Comment